Thursday, September 2, 2010

Kerajaan Lulus Empat Lesen Takaful Keluarga

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Kementerian Kewangan telah meluluskan pengeluaran empat lesen takaful keluarga, tambahan dua lesen lagi berikutan permohonan yang memberangsangkan daripada para peserta industri tersebut.

Lapan entiti bergabung yang berjaya memperoleh lesen tersebut ialah American International Assurance Bhd. (70peratus) dan Alliance Bank Malaysia Bhd. (30peratus) serta AMMB Holdings Bhd. (70peratus) dan Friends Provident Group plc, UK (30peratus).

Turut menerima lesen tersebut ING Management Holdings (M) Sdn. Bhd. (60peratus), Public Bank Bhd. (20peratus) dan Public Islamic Bank Bhd. (20peratus) serta The Great Eastern Life Assurance Company Ltd. (70peratus) dan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Bhd. (30peratus).

Kelulusan pemberian lesen itu mengikut Akta Takaful 1984.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, pihaknya menerima banyak permohonan untuk mendapatkan lesen tersebut sejak pengumuman pengeluaran dua lesen takaful keluarga di bawah liberalisasi sektor perkhidmatan dibuat pada 27April lalu.

Menurutnya, penambahan dua lesen itu diluluskan selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang lebih menggalakkan serta potensi besar untuk mempertingkatkan kadar penembusan insurans di Malaysia dan di rantau ini.

Selain itu, industri insurans dan takaful juga mempunyai peluang yang terbuka luas untuk berkembang serta menyokong keperluan ekonomi negara.

''Setelah mengambil kira faktor-faktor ini serta kekuatan yang ada pada kebanyakan pemohon, Kementerian Kewangan meluluskan lebih banyak peserta dalam sektor takaful di Malaysia,'' katanya dalam kenyataan itu.

BNM berkata, semasa menilai permohonan yang diterima, ia telah mengambil kira kekukuhan dan ketahanan kedudukan kewangan, rekod prestasi, kepakaran, pelan perniagaan dan sumbangan pemohon terhadap pembangunan sektor kewangan di Malaysia.

Tambahnya, pengendali takaful keluarga baharu itu dijangka dapat memberikan manfaat besar kepada kemajuan pembangunan industri takaful keluarga di negara ini terutamanya dalam bidang perniagaan takaful keluarga yang masih belum ditembusi, termasuk produk takaful mikro, perubatan dan persaraan.

Para pengendali takaful itu juga akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.

Sumber : Utusan Malaysia 1 Sept 2010

No comments:

Post a Comment